Saturday, February 26, 2011

Flat PKNS Jalan Jelatek yang masih didiami

“Kami tidak akan berpindah selagi tuntutan kami tidak dipenuhi,” kata Fadhilah Saharin, 38, salah seorang pemilik unit Flat Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Jelatek yang tapaknya bakal dibangunkan projek mega Datum Jelatek, di sini.

Dia yang mewakili 17 pemilik, enam daripadanya unit kediaman dan selebihnya unit kedai di situ sehingga ke hari ini masih enggan menerima tawaran pampasan RM250,000 yang mereka anggap terlalu rendah berbanding bentuk pembinaan yang bakal dijalankan.

“Kami sebenarnya tidak kisah jika ada pembangunan di sini, namun pampasan yang hendak diberikan biarlah berpadanan,” ujarnya.Jawapan Fadhilah itu sekali gus merungkai persoalan yang bermain di minda sesiapa sahaja yang melalui kawasan itu tentang terdapat beberapa unit masih dihuni di flat berkenaan, yang kini kelihatan begitu uzur dan seperti rumah ditinggalkan.katanya lagi, keputusan mereka untuk terus berada di situ diambil kerana yakin mereka berada di pihak yang benar.

Dakwanya, walaupun penghuni yang masih tinggal di situ menerima pelbagai tekanan daripada pihak tertentu dengan niat untuk menghalau mereka, ia langsung tidak menggoyahkan pendirian mereka.Dia mendakwa, selain menjadikan unit-unit kosong sedia ada sebagai tempat pembuangan sampah, longkang di kawasan perumahan itu juga berkeadaan cukup menjijikkan.

Yang terbaru, dakwanya, bumbung flat berkenaan sengaja dicabut pihak tertentu.Fadhilah berkata, dia mula mengambil alih perjuangan menuntut hak sebagai pemilik pada hujung tahun lalu apabila individu yang sebelum ini lantang mempertahankan perkara tersebut memilih menerima pampasan ditawarkan. Katanya, sejak itu perkara pertama yang dilakukan olehnya ialah melantik peguam bagi mewakili mereka.

Bagaimanapun, katanya, sehingga ke hari ini pemilik masih belum menerima sebarang maklum balas daripada PKNS mengenai tuntutan mereka iaitu pampasan RM500,00 bagi setiap unit kediaman dan RM1 juta bagi unit kedai.

Mereka turut menuntut diberikan keutamaan untuk ditawarkan membeli mana-mana unit dalam projek mega Datum Jelatek kelak.Katanya, lebih menguatkan semangatnya untuk meneruskan perjuangan ialah kerana beberapa perkara masih menimbulkan tanda tanya termasuk tindakan PKNS yang masih tidak menyerahkan hak milik strata kepada pemilik flat berkenaan.

Daripada empat blok dahulunya, kini hanya dua blok sahaja yang tinggal, sementara dua blok lagi sedang dalam proses diruntuhkan. Secara keseluruhan hampir 95 peratus unit telah dikosongkan dan keadaan flat berkenaan sememangnya sudah tidak lagi sesuai untuk didiami.Ini kerana persekitarannya yang kotor dan berdebu, dinding telah dipecah dan diconteng bukan sahaja kelihatan boleh mengancam keselamatan tetapi juga kesihatan.

Daripada 17 pemilik, hanya kira-kira enam hingga tujuh buah keluarga masih mendiami flat berkenaan, manakala beberapa buah kedai melibatkan kedai makan dan bengkel kereta masih beroperasi.Seorang warga emas yang ditemui, Rubiah Othman, 58, turut mengakui keadaan flat berkenaan menyebabkan ia sudah tidak lagi sesuai dijadikan tempat tinggal, namun tetap dengan keputusan untuk tidak berpindah.Katanya, selagi ada hayat dia tetap akan tinggal di situ kerana mahukan pampasan yang setimpal.“Walaupun terpaksa berhadapan dengan keadaan ini setiap hari, ia tidak menjejaskan semangat kami,” ujarnya.

Perasaan sama turut dikongsi, Norashikin Nasir, 47. Menurutnya, dia tidak kisah apa pandangan orang lain terhadap keputusan mereka sekeluarga untuk terus menetap di flat berkenaan kerana yakin mereka di pihak yang benar.“Keputusan kami untuk tidak menerima pampasan ditawarkan kerana ia benar-benar tidak setimpal dengan apa yang bakal dibangunkan di sini,” ujarnya. Bagi Najimiah Basook, 53, pula mengakui sememangnya agak sedih meninggalkan flat yang disewa sejak 27 tahun lalu itu.Bagaimanapun, katanya, dia tidak ada pilihan selain menerima tawaran membeli flat PKNS di Permai Jaya, Ampang.“Kami sekeluarga telah berpindah ke sana selepas Hari Raya tahun lepas dan sekali-sekala datang ke sini kerana memunggah barangan yang masih ada,” ujarnya.

Bagi Shahrudin Baginda Basir, 55, pula selagi tidak ada surat hitam putih memintanya untuk berpindah oleh tuan punya kedai berkenaan dia tetap akan meneruskan perniagaannya di situ.Menyewa kedai di situ sejak empat tahun lalu, dia mengakui lokasinya memang strategik kerana berhampiran stesen Transit Aliran Ringan (LRT) walaupun sewa dikenakan agak tinggi.“Walaupun keadaan di kawasan ini menyakitkan mata sesetengah orang, kami masih mempunyai pelanggan,” ujarnya.

Kawasan tapak flat kos rendah seluas 2.4 hektar milik PKNS itu bakal berubah wajah menjadi bandar baru di bawah pelaksanaan projek mega Datum Jelatek yang bakal siap dua tahun lagi.Datum Jelatek adalah projek pertama PKNS dalam perancangan Pembangunan Semula Taman Keramat, iaitu menukar kawasan hartanah yang mundur menjadi lebih moden sesuai dengan perkembangan semasa.Projek bernilai RM1.2 bilion itu dijangka mengandungi empat bangunan setinggi 45 tingkat yang menempatkan kawasan kediaman, bangunan pejabat, pusat membeli belah dan hotel.

laporan sumber dr Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment

sini..sini korang boleh komen ayat POWER ok ☻..
dan datang lepak sini lagi tau...seisi kutuk-mengutuk tidak akan dilayan.....Terima kasih

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Meh Tukar Link