Friday, October 8, 2010

♥Hotel di Angkasa♥

JIKA memperkatakan mengenai pelancongan di angkasa, Rusia agak mendahului semua negara di dunia apabila menerima pelancong angkasa pertama mereka, Dennis Tito pada pertengahan 2001 yang meluangkan masa selama lapan hari di angkasa.

Bekas saintis JPL itu menaiki pesawat angkasa Soyuz TM-32 menuju ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) yang mengelilingi orbit dan kemudiannya kembali ke bumi menaiki pesawat Soyuz TM-31.


STESEN angkasa Orbital Technologies.

Memandangkan sambutan menggalakkan daripada orang-orang kaya yang ingin merasai nikmat berada di luar orbit bumi dan meningkatnya bilangan pengunjung ke ISS, sebuah syarikat Rusia, Orbital Technologies mengumumkan untuk membina, melancar dan mengendalikan stesen angkasa komersial (CSS) pertama.

Matlamat stesen itu adalah untuk menempatkankan kakitangan profesional dan penyelidik korporat untuk menjalankan uji kaji saintifik dan juga masyarakat awam yang inginkan percutian keluar daripada bumi.

CSS akan dibina oleh pengeluar pesawat angkasa Rusia, RSC Energia dengan mempunyai kapasiti untuk menempatkan tujuh orang dan boleh dipertingkatkan di masa depan.

Mereka yang hendak ke stesen itu akan menggunakan pesawat angkasa Soyuz dan Progress dari Rusia dan juga lain-lain kapal angkasa kargo dan pembawa manusia yang dijangka beroperasi dalam masa 10 tahun lagi.

Menurut Orbital Technologies, stesen yang akan dibina itu akan mempunyai sistem pendaratan yang boleh dihubungkan dengan mana-mana pesawat dari Amerika Syarikat, Eropah atau China di masa depan.

CSS akan berada dalam jarak kira-kira 100 kilometer dari ISS bagi menjimatkan kos pemindahan krew dan kargo antara kedua stesen serta memaksimumkan peluang kerjasama dan perniagaan. Selain itu, CSS juga boleh menjadi tempat penempatan kecemasan untuk krew ISS jika diperlukan.

"Jika ISS perlu melakukan penyelengaraan atau berlaku kecemasan, krew ISS tidak perlu pulang ke bumi tetapi hanya perlu tinggal di CSS," kata Ketua Jabatan Pesawat Penerbangan Manusia, Agensi Angkasa Persekutuan Rusia (Roscosmos), Alexey Krasnov.

Modul pertama CSS akan berukuran 20 meter padu dan mempunyai empat kabin, bagaimanapun ia direka agar lebih selesa daripada ISS dan mempunyai ruang melihat bumi yang lebih besar.

Melancong ke orbit

Orbital Technologies bukan merupakan syarikat pertama yang mengumumkan untuk mereka bentuk stesen angkasa komersial untuk dijadikan hotel. Pada 2007, Galactic Suite Design mengumumkan pelannya untuk membangunkan 'rantaian hotel di orbit' dengan pembinaan resort angkasa mewah yang dijangka siap pada 2010.

Menurut syarikat itu, kos pakej pelancongan itu adalah RM13 juta yang mana ia juga akan meliputi perjalanan ke pulau Caribbean, menjalani latihan menjadi angkasawan selama 18 minggu dan juga perjalanan selama empat hari di angkasa.

Sistem pelancaran kapal angkasa yang dirancang akan direka dengan ciri-ciri keselamatan tinggi dengan meminimakan impak kepada alam ketika berlepas dan mendarat di bumi.

Pesawat itu dikatakan mampu memecut sehingga 1,000 kilometer sejam (km/j) dalam masa kurang daripada 20 saat dan apabila mencecah kelajuan bunyi (kira-kira 1,236 km/j), pesawat itu akan berpisah dengan roket pelonjak dan mengelilingi orbit menggunakan enjin pesawat.

Apabila di orbit, tetamu berpeluang berkomunikasi dengan media atau saudara mara di bumi dan di dalam pesawat itu.

Galactic Suite menyatakan akan membina spa di angkasa yang mana ia merupakan sebuah bilik mandi dengan graviti sifar, selain mempuyai basikal senaman.

Walaupun, syarikat itu telah mengambil tempahan tetapi setakat ini tiada sebarang perkakasan atau peralatan projek yang telah dibina atau diuji - yang seterusnya menimbulkan kritik mengenai kemampuan syarikat itu untuk melaksanakan projek impian tersebut.

Sementara itu, bagi projek CSS, Orbital Technologies telah menandatangani perjanjian kerjasama dengan RSC Energia dan Roscosmos.

Mereka juga mendakwa peruntukan untuk pembangunan dan pelaksanaan projek CSS telah diperoleh dan kini sedang menyiapkan jadual kerja operasi stesen itu yang dijangka dapat diperkenalkan pada 2015 atau 2016.

Walaupun tiada harga diumumkan untuk sesiapa yang berminat melancong ke stesyen ini tetapi anda perlu mengumpul wang berjuta-juta ringgit dari sekarang.

sumber-sumber dari Utusan Malaysia Online

No comments:

Post a Comment

sini..sini korang boleh komen ayat POWER ok ☻..
dan datang lepak sini lagi tau...seisi kutuk-mengutuk tidak akan dilayan.....Terima kasih

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Meh Tukar Link