Thursday, October 14, 2010

Dua suspek kes pembunuhan Datuk Sosilawati Lawiya fail semakan perintah reman

KUALA LUMPUR 11 Okt. - Dua beradik yang ditahan berhubung pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya hari ini memfailkan semakan jenayah terhadap perintah reman terbaru yang dikeluarkan ke atas mereka awal Oktober lalu yang didakwa menyalahi undang-undang.

Kedua-dua suspek berkenaan memfailkan semakan tersebut melalui firma guaman, Tetuan Hakem Arabi & Associates di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Jenayah di sini.


Menurut notis semakan tersebut, perintah reman itu dikeluarkan selepas mahkamah menerima alasan yang dikemukakan oleh Pegawai Penyiasat dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields, Asisten Supritendan Tonny Lunggan bagi kes kehilangan ahli perniagaan, Mohd. Shafik Abdullah, 37, dan rakannya, S. Theravaraj, 28.

Perintah reman bertarikh 8 Oktober lalu itu berkuat kuasa sehingga 13 Oktober ini telah dikeluarkan oleh Pendaftar Mahkamah Majistret, Ahmad Shakib Ismail.

Antara alasan yang dikemukakan oleh pegawai polis itu adalah untuk mengenal pasti penglibatan suspek dan motif pembunuhan kedua-dua mangsa itu, mengesan rakan sejenayah dan barang-barang kes yang dibuang oleh kedua-dua beradik yang juga merupakan peguam.

Tonny turut didakwa memberikan alasan hendak merakam percakapan kedua-dua suspek, menjalankan kawad cam, menyiasat perniagaan mangsa dan suspek serta mengesan rakan perniagaan luar negara suspek yang kononnya terlibat dalam perniagaan berlian.

Secara keseluruhan, kedua-dua suspek telah direman dan dilanjutkan perintah tersebut sebanyak tiga kali sejak ditahan 11 September lalu bagi tiga kes berlainan iaitu Sosilawati dan tiga rakannya (14 hari), ahli perniagaan dari India, Allal Kanthan Muthuraja, 34, (12 hari) dan Mohd. Shafik serta Theravaraj (enam hari).

Perintah reman itu juga dibuat secara berterusan antara satu sama lain sejak dua beradik itu mula ditahan pada Hari Raya Aidilfitri kedua yang lalu di premis beralamat No. 109, Jalan Cempaka, Taman Seri Teluk Datuk, Banting, Selangor.

Selain menyalahi undang-undang, kedua-dua beradik itu mendakwa alasan penahanan reman terbaru itu adalah tidak relevan.

Mereka juga mendakwa, alasan hendak membuat kawad cam dan mengesan barang-barang tidak boleh diterima pakai kerana kedua-dua perkara itu boleh dilakukan tanpa mereka diletakkan di bawah perintah reman.

''Alasan bahawa pihak polis hendak menyiasat ahli perniagaan luar negara juga tidak relevan kerana pihak berkuasa menggunakan perkataan 'kononnya' seolah-olah mereka sendiri tidak yakin dengan penglibatan rakan perniagaan suspek,'' menurut notis tersebut.

Pemohon juga mendakwa Ahmad Shakib telah terkhilaf dalam menggunakan budi bicaranya ketika mengeluarkan perintah reman bertarikh 8 Oktober lalu.

Selain itu, suspek-suspek menuntut agar mereka dibenarkan hadir di mahkamah sewaktu pendengaran semakan jenayah tersebut bagi membolehkan hakim Mahkamah Tinggi mendapat gambaran sebenar ketika reman dikeluarkan.

sumber-sumber dari Utusan Malaysia Online

No comments:

Post a Comment

sini..sini korang boleh komen ayat POWER ok ☻..
dan datang lepak sini lagi tau...seisi kutuk-mengutuk tidak akan dilayan.....Terima kasih

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Meh Tukar Link